Balkanisasi Siber: GANGGUAN KEPADA SEMANGAT 1MALAYSIA






Artikel Balkanisasi Siber: GANGGUAN KEPADA SEMANGAT 1MALAYSIA merupakan suatu artikel yang menceritakan mengenai kebebasan yang dikecapi masyarakat kini dalam mendapatkan maklumat, tetapi malangnya  kebebasan yang dikecapi secara tidak langsung telah memesongkan objektif untuk mencari maklumat dan tersasar ke aspek negatif. Menurut artikel Professsor Dr Rahmat; Balkanisasi Siber: GANGGUAN KEPADA SEMANGAT 1MALAYSIA; balkanisasi media mula diperkenalkan Cass Sunstein (2002) dan konsep balkanisasi media bermula dengan wujudnya balkanisasi siber yang memaparkan suatu analogi terhadap gejala media yang menjadikan khalayak terpisah, membentuk koloni masing-masing dan ganas pada kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka.
Dengan penjelasan yang disertakan dengan sumber rujukan, saya yakin maklumat yang dimuatkan dalam artikel ini diiktiraf dan boleh dijadikan sebagai bahan rujukan sebagai maklumat tambahan. Selain hujah-hujah mengenai terma balkanisasi dan perihal kebebasan media, artikel ini turut mengkaitkan konsep balkanisasi dan kebebasan media dengan isu-isu dalam negara. Pendekatan ini dapat memberi gambaran dengan lebih jelas apa yang cuba dimaksudkan dengan balkanisasi. 




Sebagai contoh
“Akhbar politik seperti Harakah, Suara Keadilan, Siasah, Buletin Rakyat, Era Baru dan banyak lagi tabloid picisan yang lain, berada di pasaran tanpa sekatan, meskipun ada undang-undang yang mengehadkan penjualan akhbar politik tertentu kepada ahli-ahlinya sahaja. Situasi kebebasan sedemikian disokong pula oleh bahan-bahan politik daripada Internet”




“Kebebasan media baru atau Internet, daripada penapisan pihak berkuasa seperti yang diperuntukkan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, juga dengan terangnya telah membangkitkan kesan negatif terhadap keharmonian sosial di negara ini.  Malah peruntukan kekebasan tersebut telah diulang melalui Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia. Namun kebebasan daripada kekangan penapisan tidak pula membebaskannya daripada Akta Fitnah, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.”
Saya sangat bersetuju dengan maklumat-maklumat yang disampaikan Dr Rahmat. Balkanisasi media sememangnya wujud, negara kita, Malaysia, turut tidak terkecuali. Lebih mengukuhkan lagi, beberapa kajian telah dijalankan Dr Rahmat sebelum mengeluarkan pendapat beliau mengenai balkanisasi ini. Ini dapat dibuktikan dengan data-data dan peratus-peratus yang terkandung dalam artikel.

Setakat 20 Mac 2010, kajian singkat yang diperoleh daripada enjin carian Google mendapati bahawa caci-cerca dan maki-hamun sesama kaum oleh golongan dan individu yang tidak bertanggungjawab amat lumayan (Rahmat Ghazali 2010).


Daripada kajian mini saya, tabloid politik seperti Harakah dan Suara Keadilan mengandungi 97% berita politik dan 90% daripadanya menyuntik kebencian terhadap kerajaan dengan mengangkat konflik politik sebagai nilai berita utama. 

melalui sesawang web, enjin carian akan memaparkan 22.6 juta bahan tentang Pele (sebagaimana yang saya layari pada 2 Nov 2008).

Pada keseluruhannya, dari permulaan kata hingga ke ayat terakhir kesemuanya memberi impak ilmiah yang sangat kuat. Sesiapa sahaja yang membaca artikel Balkanisasi Siber: GANGGUAN KEPADA SEMANGAT 1MALAYSIA ini akan merasakan sangat banyak input mampu diperoleh. Lambakan info dimuatkan dalam artikel tersebut.



Dr Rahmat berpendapat kebebasan media baru harus ditunjangi etika kewartawanan. Saya turut bersetuju dengan sepenuh hati. Sebagai pelajar komunikasi yang sudah didedahkan dengan etika dalam kewartawanan, saya merasakan tanpa etika dalam kewartawanan, media mempunyai potensi untuk mensegregasikan masyarakat.



Permasalahan yang bakal timbul akan berpaksikan kepada minat, kecenderungan serta sentimen kumpulan yang menolak kehadiran khalayak lain yang tidak sealiran dengan pemikiran, minat dan kecenderungan mereka. 


Sebagai contoh; Anuar Ibrahim telah membuat kenyataan jika Pakatan Rakyat memenangi Pilihanraya ke 13 beliau akan mengheret pihak pengurusan TV3 ke penjara. Juga terdapat beberapa video yang menunjukan pihak pembangkang tidak mengendahkan wartawan RTM dan TV3, sedangkan wartawan-wartawan tersebut hanya menjalankan tugas. Dek kerana tidak sehaluan dengan pendirian pihak pembangkang, wartawan-wartawan tersebut dilayan kasar dan kurang ajar. Katakanlah Pakatan Rakyat menang, tidakah mereka akan mengangkat penerbit-penerbit akhbar yang berpihak kepada mereka seperti Suara keadilan, Harakah sebagai akhbar perdana? Sudah tantu akhbar-akhbar tersebut hanya akan dibenarkan melaporkan berita-berita positif mengenai Pakatan Rakyat. Dimana perjuangan  mereka untuk memberi kebebasan media? Adakah mereka betul-betul bersedia untuk dikutuk dan dikritik oleh media perdana? Adakah mereka benar-benar inginkan kebebasan media dipraktikkan jika mereka memegang tampuk kerajaan?


Kesan balkanisasi media juga turut akan menggugat maklumat dan polisi pihak kerajaan kerana rakyat hanya memberikan perhatian kepada apa yang mereka minati. Terdapat banyak contoh dalam artikel Dr Rahmat yang menunjukan betapa pentingnya kawalan terhadap balkanisasi media. Insiden seperti Al-Maunah, Memali, Hindraf, Gelombang Kuning, gejala obsesi pornografi dan gejala sosial lain yang menjurus kepada gejala obsesi dan ketaksuban mempunyai pertalian yang signifikan terhadap gejala balkanisasi media ini. Soal perpaduan dalam kalangan rakyat menjadi tidak relevan lagi. Yang dibimbangkan ialah gejala anarkis, fitnah dan hasutan seperti yang kita lihat pada kes-kes tertentu seperti ‘Muslim terrorist’ yang telah menghina penganut agama Islam.


Dr Rahmat turut menyertakan kata-kata Hitler seperti; “sesuatu penipuan pun boleh diyakini kebenarannya jika sering diulangi” “lebih besar pembohongan itu, maka lebih besar pula tendensi masyarakat untuk mempercayainya” (Mohd Hamdan Adan, 2008) kata-kata ini disertakan dalam artikel sebagai memberi perumpamaan terhadap impak yang bakal diterima kesan daripada balkanisasi. Beliau turut meluahkan rasa bimbang dengan situasi kebebasan media cetak hari ini. Kebimbangan ini bukanlah bermaksud bahawa kekebasan media hendaklah disekat. Apa yang disarankan ialah kebebasan media hendaklah disertai dengan etika tanggungjawab dan profesionalisme.























0 ulasan:

Kewibawaan Polis Dipertikai


POLIS HILANG TARING: KEWIBAWAAN MULA DIPERTIKAI

Polis Anjing Kerajaan; merupakan antara terma yang tersimpan dalam benak pemikiran sesetengah pihak yang seboleh-boleh ingin menidakkan perjuangan dan menafikan pengorbanan barisan pertahanan negara. Isu Lahad Datu yang masih berlarutan hingga kini menimbulkan pelbagai spekulasi, antaranya, isu ini dikatakan membabitkan permainan politik, adanya penglibatan pihak pembangkang, penceroboh-penceroboh sebenarnya telah diupah, malah Kesultanan Sulu itu sendiri, setiap satu mempunyai impak tersendiri terhadap isu Lahad Datu ini.

Konspirasi ini mampu menjadi berlarutan dan berpanjangan ekoran masing-masing mempunyai persepsi dan pegangan masing-masing, baik kerajaan mahupun pembangkang, setiap dari mereka punya tanggapan dan pegangan tersendiri terhadap isu Lahad Datu ini dan mereka mampu mempengaruhi sesiapa sahaja untuk mempercayainya tanpa mengambil kira dakwaan mereka tersebut adalah benar ataupun salah.

Cubaan penaklukan Lahad Datu oleh ketenteraan Sulu telah bermula seawal februari lalu. Pada awalnya, sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut telah membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou. Dikatakan kumpulan itu berpecah di beberapa lokasi di sekitar kawasan Sungai Bakau, surau dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali sebagai Mad Bon.



Isu ini sedikit sebanyak telah memberi impak negatif terhadap keharmonian dan kemakmuran Malaysia yang selama ini telah menjadi aset penting dalam sektor pelancongan negara. Isu yang pada awalnya hanya berlegar di sekitar Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17 sudah mula bergerak ke Semporna, ini memaksa barisan pertahanan negara untuk menggembeling tenaga dan perlu memperkukuhkan lagi benteng bagi memastikan keselamatan rakyat sekitar terjamin. Pada 7 Mac, perdana menteri mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas di pantai timur negeri yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

Malangnya, pengorbanan murni ini bukan sahaja tidak dihargai malah hingga ke tahap menghina dan menyamakan barisan pejuang ini setaraf dengan haiwan. Persoalanya, adakah pihak-pihak yang mendakwa barisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai anjing kerajaan ini tidak nampak akan perjuangan perajurit-perajurit tersebut atau mereka ketandusan idea untuk menafikan kecekapan barisan ini hingga terpaksa berpura-pura menafikan yang mereka sebenarnya memerlukan dan bergantung harap kepada barisan pertahanan negara bagi menjamin keselamatan mereka?

Selain melabelkan polis sebagai anjing dan mempertikaikan kecekapan mereka, pihak yang terlibat juga membuat beberapa dakwaan bagi menunding jari dan meletakkan salah pada kerajaan mengenai isu Lahad Datu ini. Pihak tersebut menyatakan adanya penglibatan kerajaan dalam isu Lahad Datu ini apabila timbul kehairanan di minda mereka modus operandi apakah yang digunakan tentera-tentera sulu yang membuatkan mereka berjaya menembusi perairan, memasuki sabah dan berpengkalan di Lahad Datu tanpa dihalang oleh sesiapa sedangkan selama ini rakyat dihujani maklumat bahawa perairan negara sentiasa berada dalam kawalan rapi oleh pihak berkuasa. Hujah-hujah mereka disokong pula dengan statistik-statistik yang menunjukan bilangan tentera sulu yang memasuki ke lahad datu, menurut mereka jumlahnya bukanlah sedikit malah mereka mampu membuktikan tentera-tentera sulu tersebut membawa bersama peralatan-peralatan perang yang lengkap.

Pihak pembangkang mempersoalkan bagaimana pihak ketenteraan sulu tersebut boleh terlepas ke Lahad Datu. Hanya dua kemungkinan yang ditimbulkan pihak pembangkang; pihak polis memberi kerjasama terhadap pihak Ketenteraan Sulu atau pihak polis cuai dalam menjalankan tugas sehingga boleh terlepas pandang akan kemasukan tentera-tentera sulu tersebut. Nyata, kedua-dua dakwaan pihak pembangkang tersebut sekaligus ingin mencerminkan kerapuhan dalam sistem pertahanan negara, ini antara sebab mengapa polis dilabel sebagai anjing kerajaan. Hal ini demikian kerana, bagi fahaman mereka pihak polis hanya akan mengambil tindakan hanya setelah menerima arahan dari pihak kerajaan. Dakwaan mereka itu juga jelas ingin meletakkan salah ke atas kerajaan dan ingin membuktikan bahawa kerajaan yang memerintah pada hari ini sudah tidak mampu menjamin keselamatan sejagat.  

Episod malang barisan PDRM mengenai isu Lahad Datu bermula apabila tercetusnya pertempuran di antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh. Kejadian dikatakan berlaku ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo. Pertempuran tersebut telah menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Retetan kejadian itu kerajaan tampak lebih serious dalam menangani kes tersebut tetapi pihak yang mengkritik juga tidak kurang banyaknya.

Lebih menggemparkan apabila ahli parlimen Batu, Tian Chua secara terbuka telah membuat kenyataan yang menghentam barisan PDRM dan menyifatkan dua anggota yang terkorban sebagai ‘mati katak’. Kenyataan tersebut mendapat perhatian ramai pihak. Bermula seawal 1 hingga 20 Mac lalu, sebanyak 1361 laporan polis telah dibuat terhadap Tian Chua ekoran kenyataannya yang ternyata mengguris hati banyak pihak terutama keluarga perwira negara yang terkorban dalam Operasi Daulat. Rata-rata menyifatkan Tian Chua sebagai manusia tidak berhati perut, tidak berperikemanusian dan tidak tahu menghargai jasa dan pengorbanan barisan pertahanan negara. Paling mendapat tamparan dengan kenyataan tersebut adalah ahli keluarga anggota polis yang terlibat. Luahan kekecewaan mereka terhadap kenyataan Tian Chua dipaparkan dalam laporan-laporan berita. Persoalanya mengapa Tian Chua begitu celupar sehingga tidak menggunakan akal dalam membuat kenyataan yang begitu sensitif?


Ketidakpuashatian Tian Chua terhadap PDRM mula dapat dilihat sebelum timbul isu Lahad Datu lagi. Ketika negara dilanda krisis pendemostrasi jalanan – BERSIH. Sesetengah pihak mula mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan polis dalam mengendali sesebuah permasalahan sejak insiden BERSIH. Dalam satu laporan berita, Tian Chua, orang yang sama yang telah menyifatkan anggota yang terkorban di Lahad Datu sebagai mati katak turut membuat onar ketika BERSIH, beliau telah bertindak menggigit anggota polis. Ini sudah mula menampakan penolakan dan penentangan Tian Chua terhadap pihak polis.

Selain Tian Chua penyokong-penyokong BERSIH juga merupakan antara pihak yang menolak dan menentang polis. Di minda mereka sudah tertanam ideologi bahawa polis adalah anjing kerajaan, polis hanya bertindak mengikut kehendak kerajaan dan bukan lagi mementingkan keselamatan rakyat. Mereka cuba membuktikan dakwaan mereka dengan merakamkan prilaku dan tindakan polis yang dikatakan kasar dan kurang ajar terhadap mereka semasa BERSIH. Peserta-peserta BERSIH seakan-akan diwajibkan merakam semua tindakan polis dan kemudian cuba membuktikan bahawa dakwaan mereka mengenai keganasan pihak polis melalui video-video tersebut.

Jika difikirkan semula, polis ditugaskan untuk menjaga keselamatan negara dari sebarang tindakan ancaman. Tindakan berdemostrasi anjuran BERSIH itu sudah boleh dikelasifikasikan sebagai ancaman kepada keselamatan negara, tidak semua yang menyokong tindakan BERSIH malah lebih ramai rakyat Malaysia yang mengecam peserta BERSIH. Masih ramai rakyat yang masih berpuas hati dan selesa dengan keharmonian negara kini.

Tindakan berdemostrasi itu secara tidak langsung telah meletakkan peserta-peserta BERSIH tersebut sebagai pesalah yang mampu memberi ancaman kepada keselamatan negara. Perlukah barisan polis memberi layanan mesra kepada si pesalah? Adakah mana-mana negara yang melayan pesalah yang memberi ancaman kepada negara dengan layanan baik? Pihak kerajaan dan pihak polis telah berusaha keras untuk memastikan tiada insiden yang tidak diingini, sehingga anggota-anggota yang sudah berusia turut terpakse turun padang, cuti semua terpaksa dibekukan, terpaksa berjauhan dari keluarga, terpaksa bertugas di luar kawasan, walaupun jauh dihati mereka pernah mengeluh tetapi demi menjalankan tugas selaku benteng pertahanan negara yang menjadi tempat perlindungan untuk rakyat mereka gagahkan diri merempuh barisan pendemo BERSIH. Malangnya pihak BERSIH tidak ingin memberikan kerjasama sebaliknya memutar belit fakta dan akhirnya semua salah dan punca dicampakkan kepada kerajaan.


Selain Tian Chua, anak kepada pemimpin utama pembangkang, Nurul Izzah turut membuat kenyataan seakan-akan menidakkan kewibawaan barisan polis negara. Izzah menyatakan yang beliau menuntut supaya Pasukan Gerakan Am dan Cawangan Khas dimansuhkan kerana kononnya mereka tidak lagi diperlukan. Mungkin beliau terlupa atau mungkin terleka dengan keselesaan yang diperoleh sejak dilahirkan. Pada era komunis pasukan yang hendak dimansuhkan Izzah merupakan barisan pertahanan yang telah berjuang sehabis mungkin dalam menentang komunis demi memastikan keselamatan semua pihak.


Selepas Tian Chua, Izzah, lebih menyedihkan lagi apabila seorang guru yang merupakan seorang penjawat awam, seorang pendidik, yang peroleh gaji dari kerajaan turut membuat kenyataan di laman sosialnya yang menghina dan melabel polis sebagai anjing dan mati katak. Ini jelas menunjukan bagaimana pemimpin mampu mempengaruhi pemikiran rakyat. Bermula dengan pemimpin dan diakhiri dengan rakyat, memang tidak dapat dinafikan semua punya hak untuk bersuara tetapi jika kenyataan yang dikeluarkan tidak tepat dan bersifat menghina tidakah ianya mampu menjurus kepada kepincangan keharmonian negara? Mengikut pepatah melayu, Bagaimana Acuan, Begitulah Kuihnya.

Secara keseluruhanya, isu pencerobohan di Lahad Datu sememangnya memberi pengajaran yang amat bermakna. Menurut pensyarah Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Professor Madya Abuyamin Salam, mungkin Malaysia sudah terlalu lama aman, sesekali berlaku kejadian sebegini mungkin dapat menyedarkan rakyat dan barisan pemimpin untuk mengeluarkan diri dari kepompong keselesaan seterusnya bertindak untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak lagi terus terleka.

Asas kepada keamanan dan keharmonian adalah berpaksi kepada kesatuan rakyat. Jika diselak sejarah, tanah melayu yang dahulunya aman, wujudnya sikap kekitaan dalam jiwa setiap rakyat tetapi dengan adanya watak Sikitol semuanya hancur berderai. Yusuf Harun dalam artikelnya menyatakan kita tidak boleh mengelak daripada mempunyai Sikitol dalam semua aspek kehidupan, lebih-lebih lagi dalam politik. Demi memenuhi kehendak, ditambah lagi dengan dorongan nafsu, kita selaku manusia kadangkala sanggup melakukan apa sahaja yang diluar kawalan dan jangkaan.

Seniman agung Allahyarham P Ramlee turut memaparkan watak Sikitol dalam karya-karya filemnya kerana beliau turut menyedari sememangnya wujud watak Sikitol dalam setiap aspek hidup terutamanya dalam kalangan bangsa Melayu.

Sikitol, Si Pengkhianat, Duri Dalam Daging, Musuh Dalam Selimut, merupakan gelaran yang sepadan untuk mereka yang cuba meruntuhkan keutuhan keharmonian yang telah nenek moyang kita bina, kerana golongan-golongan inilah yang telah menyebabkan Melaka tewas di tangan Portugis dan mengakhiri kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka untuk selama-lamanya. Dan hari ini, jelmaan Sikitol wujud kembali dalam jiwa-jiwa orang-orang Melayu di negara ini, ia hadir ketika timbulnya krisis dan lazimnya Sikitol merupakan dari kalangan pencetus krisis itu sendiri, cuma orang tidak menyedarinya. Kitol dalam bentuk baru dan lama tidak ubah seakan bebayang yang mengikuti kita ke mana sahaja.

Jika dulu kita pernah kehilangan kegemilangan Melaka, selepas merdeka Sikitol muncul kembali waktu negara di ambang krisis kewangan akibat muslihat penyangak mata wang. Kita hampir tergadai negara ketika itu tetapi dengan kebijaksanaan Tun Dr Mahathir selaku perdana menteri, negara dapat menangani krisis kewangan dengan lancar dan sekaligus mengheret Sikitol ke muka pengadilan. Dan kini ketika negara sedang bersiapsiaga untuk menghadapi pilihanraya Sikitol muncul kembali seakan baru bebas dari neraka dan menjadi dajal, membuat kacau di Lahad Datu. Lebih dahsyat apabila tindakanya bersepakat dengan pihak Sulu dinafikan sekeras-kerasnya walaupun bukti bersepah di mana-mana sebaliknya dia memutar belit fakta dan akhirnya salah dituju kepada pihak kerajaan.

Pihak pembangkang gemar menggunakan frasa ‘rakyat kini tidak bodoh’ ‘rakyat sudah pandai menilai’, seolah-olah ingin membuktikan kerajaan yang memerintah selama ini menipu rakyat. Saya sama sekali tidak pernah bersetuju dengan kata-kata tersebut. Adakah pihak mereka cuba untuk mendakwa yang nenek moyang kita dahulu bodoh dan tidak pandai menilai ‘perintah’ kerajaan? Adakah nenek moyang kita hanya menurut perintah kerajaan tanpa sebarang tentangan, seperti lembu yang dicucuk hidung?  Walaupun saya dilahirkan pada era pasca merdeka, tidak merasai era peperangan hatta tidak langsung berada dalam situasi 13 Mei tetapi saya yakin rakyat sejak dahulu lagi sudah tahu menilai baik buruk segala tindakan kerajaan. Mereka tahu apa yang baik untuk mereka dan apa yang mereka harus kekalkan untuk menjamin  keharmonian dan keselamatan generasi mereka, dan sememangnya mereka telah membuat pilihan tepat dalam memilih pemerintah. Mungkin generasi penentang kini adalah waris dari kalangan yang tidak mendapat sokongan suatu ketika dahulu atau mungkin mereka terlupa dan terleka dengan angan-angan mereka sendiri. 

.



0 ulasan:

KEBEBASAN MUTLAK MEDIA BARU BOLEH MEMBAWA BENCANA KEPADA KEHARMONIAN SOSIAL.





“Kami akan memberi kebebasan kepada media sekiranya kami diberikan kepercayaan untuk menang pilihanraya kali ini” itu merupakan antara rangkap kata yang keluar dari mulut-mulut pemimpin parti pembangkang. Mereka yang tidak dapat menerima kekalahan mereka sejak tahun kemerdekaan lagi mengandaikan ketidakbebasan media merupakan antara punca mereka tidak dapat menyampaikan semantik perjuangan mereka kepada rakyat. Maka pada pilihanraya kali ini mereka memperjuangkan agar media diberikan kebebasan kononnya media negara dikawal zalim oleh kerajaan sekaligus telah membataskan info-info yang sepatutunya diketahui rakyat.

Mengimbau kembali era pentadbiran Tun Dr Mahathir, beliau telah memperkenalkan dunia ICT kepada rakyat  dengan penubuhan Siberjaya. Tiada sebarang sempadan diletakkan dalam dunia media baru, kerana bagi pemikiran Tun, rakyat perlu diberikan kebasan bagi mencari ilmu dan meluahkan pandangan mereka dan Tun percaya rakyat akan memgunakan kebebasan yang diberikan seeloknya. Malangnya rakyat kini terlampau terdedah dengan dunia tanpa sempadan ini telah terpengaruh dengan perkara-perkara tidak benar ditambah pula dengan wujud pula penerepan budaya-budaya barat. Secara sedar ataupun tidak, gelombang yang dihidangkan menerusi internet ini secara beransur-ansur sedang membentuk sikap pandangan dan budaya baru dikalangan masyarakat. Jika dahulu, media massa melihat seorang wartawan mewakili keseluruhan pendapat masyarakat tetapi menerusi media baru ini, wujudnya suara kecil masyarakat yang bercanggah dengan pendapat majoriti dan akan disuarakan terus-menerus memalui media baru tanpa wujud sebarang sempadan.

Internet sepatutnya menjadi media efektif bagi kelompok masyarakat kerana  memandangkan sifatnya bebas dari segi ruang dan waktu tanpa diganggu dan dipengaruhi keadaan sekeliling. Namun, jika dilihat daripada sudut negatif pula, dalam kita sedar atau tidak, internet telah menyebabkan perpecahan kaum di kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, penyokong barisan alternatif pasti akan bercakap mengenai kebaikan mereka dan mengutuk keburukan pihak pembangkang mereka, begitu juga sebaliknya. Akibatnya, mereka akan menggunakan media baru ini medium untuk berbalah sesama mereka. Jika fenomena ini dilihat atau disaksikan oleh masyarakat luar, bukankah ini amat memalukan kita dan akan menjatuhkan maruah negara?




Fenomena berbalah menerusi media baru ini jelas dapat dilihat pada pilihanraya kali ini. Mengambil iktibar kekalahan pada piliharaya 2008 pihak kerajaan yang terlepas pandang ‘suara kecil’ yang mengata dan cakap belakang akhirnya telah mengambil langkah drastik dengan pengenalan unit media baru di jabatan dan pengenalan akaun media baru bagi setiap penjawat awam. Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri mempunyai akaun facebook dan twitter. Dilaporkan Datuk Najib merupakan antara ikon popular di laman-laman sosial tersebut. Dengan adanya akaun laman sosial, kerajaan kini dapat mendengar semua keluhan tanpa perlu tunggu untuk ke tempat kejadian.



Benarlah seperti yang dikatakan Ketua Eksekutif Google Inc., Eric Schmidt, dunia talian menambah kuasa orang kebanyakan dengan keupayaan untuk mencabar kerajaan, pihak media dan perniagaan. Ia juga mengurangkan jurang sedia ada antara masyarakat dan maklumat, membolehkan akses lebih terbuka untuk pengetahuan manusia. Pada dasarnya, kehadiran media baru sepatutnya merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan, namun apabila media baru mula digunakan untuk mencabar tugas pihak kerajaan, ia sepatutnya tidak berlaku. Secara majoritinya, individu yang mengutuk kerajaan merupakan barisan pembangkang yang menuntut di institusi kerajaan dan menjawat jawatan di sektor awam tetapi berlagak seakan pembangkang yang memberi mereka seperti mana kerajaan berikan kepada mereka. Jika mereka tidak sehaluan dengan kerajaan, kenapa harus mereka menuntut ilmu di IPTA? Mengapa mereka perlu menagih kerja di sektor awam? 


Tiada pengawalan terhadap media baru mampu membawa bencana kepada keharmonian sosial dapat dibuktikan dengan perhimpunan Bersih yang dianjurkan barisan pembangkang. Barisan pembangkang mula menggunakan media baru untuk mengata buruk mengenai kerajaan, wujudkan rasa benci dan bertindak sebagai batu api. Kemudian mereka merancang dan sehinggalah ke hari perhimpunan, segala info disebarkan melalui media baru atau laman sosial. Jika media baru dikawal mereka tidak dapat menyebarkan info dan berkemungkinan perhimpunan tersebut hanya dihadiri mereka yang mendapat maklumat sahaja. Kebebasan mutlak yang diberikan kepada baru juga menyebabkan rakyat mengata dan melepaskan kemarahan sesuka hati hingga ke tahap menghina dan mencaci. Sedihnya kadang-kadang yang menghina dan dihina itu adalah sesama bangsa, hanya kerana fahaman politik yang berbeza mereka tergamak berbuat demikian. Berikut saya telah sertakan beberapa gambar sebagai contoh.






Sebagai manusia yang dikurniakan akal seharusnya kita tidak bertindak  seperti binatang. Bukanlah hendak menunjukan yang kita harus menyokong kerajaan dan menentang sepenuhnya pembangkang kita seharusnya mengkaji sepenuhnya dan selalu beringat dalam meluahkan pendapat dan pandangan. Terlajak perahu boleh berundur, telajak kata badan binasa. Nenek moyang kita wujudkan pelbagai frasa bagi menerapkan nilai-nilai murni dan perpaduan tetapi mengapa kita hendak menggunakan kemajuna teknologi bagi memecah belahkan kaum dan menggangugugat kerharmonian sosial negara?

0 ulasan:

Blogger Template by Clairvo